Wednesday, June 17, 2020

2nd pregnancy #1

Assalamualaikum. 
Lama dah tak post apa-apa disini.
Berderet draft belum pos, tapi kerajinan tu tak ada.. 🤭

Beberapa harini asyik berangin je badan. 
Ada syak jugak, tapi tengok period calendar jauh lagi cycle. Sebab cycle sebelum ni 52hari. Hari ni pulak hari ke 40++.
Cadang nak makan phytonatal, nak buang angin dalam badan. Teringat pulak natal tak boleh ambil kalau hamil. Jadi, saja-saja la cek upt. 2x cek, 2x clear double line. Upt beli banyak kat shopee.. yang murah-murah je, kononnya sebab kalau negatif tak la membazir nak buang-buang gitu je..

Bila dah positif, baru mintak husband beli lain yang kat farmasi. Test lagi sekali, memang 2 garisan terang jugak. Dengan Ihsan dulu, satu line lagi samar sikit. 

Alhamdulillah, rezeki Nor Ihsan nak beradik. Bila kira-kira, mungkin adiknya bakal lahir bulan 2 atau 3 tahun depan. Mohon supaya suami dah boleh masuk teman la masa tu...🤭

Patut Nor Ihsan tak nak berenggang langsung, manja lebih dengan mami dia.. macam chemong masa mengandungkan Ihsan dulu.. 


Terima kasih, Ya Allah atas rahmat dan rezeki dariMu...

Saturday, December 14, 2019

Pregnant #06 : Past due 40w 2d

Assalamualaikum..

Fuh.. dah lepas due 2 hari..
Hari ni 12/12/2019.. Ihsan belum nak keluar lagi.. Semua duk memujuk dia untuk keluar cepat. Perut makin menekan kebawah, makin sakit sekitar kemaluan dan makin susah nak bangun duduk bila baring.. 
Pagi-pagi mak bagi sebotol air yasin, moga mudah bersalin. Macam air selusuh je mak bagi tu..😅

Seperti dimaklumkan, Ke KD la kita hari ni, lepas tu ke KKIA hantar sample air kencing untuk screening GBS.

Pukul 8.30 dah keluar ke KD, rileks je sebab KD biasanya tak ramai orang. Lagipun plan nak jejalan lepas siap semua. 
Memang sungguh taknramai orang, kami orang pertama, KD pn batu bukak..
K. Yati KD Gau tanya tak beranak lagi..😅
Macam diberitahu sebelum ni, dia cuma nak cek heart rate bayi.. Tu paling penting untuk yang overdue. Alhamdulillah, ok. Lepas tu ambil BP.

K.Yati tengok rekod, ada GBS test buat masa check EDD kat KKIA Temerloh. Dia cakap paling tidak seminggu baru tahu result. Entah-entah awak dah bersalin dulu pun...😅(masin la mulut dia... Amin~)

Lepas tu set appointment untuk next checkup, hari sabtu, 14/12/2019, kalau belum bersalin. Sepatutnya klinik tutup. Tapi kalau ada kes, based on appointment macam ni, dia bukak untuk handle kes je. 

Lepas dah siap semua, kita ke KKIA hantar sample air kencing untuk screening GBS macam yang diminta haritu. Abah Ihsan terpaksa parking jauh sikit, lepas tu dia paksa Mami jalan. Kata nak jejalan kan..😅
Hantar je kat kaunter makmal, lepas tu siap. Siap semua pukul 9. Semua tempat mesti tak bukak lagi. Nak pergi makan prosperity pun belum lunch time lagi. Maka, kita balik dulu la..

Sampai rumah, kita main-main dengan gym ball dulu. Main sampai bosan. Masa ni pun dah tak larat & asyik nak tidur je. Tapi perut tak selesa. Asyik mengeras je. Nak kira baby kicking pun susah. 

Tepat pukul 11 kita keluar semula, memang niat nak ke McDonald's sebab nak makan prosperity. Kalau tetiba bersalin, nak tunggu habis pantang, dah habis musim dah. Lagipun orang kata, nak cepat bersalin, makan pedas. Redah je la kita pun. Alhamdulillah settle craving. Lepas tu ke Temerloh Mall, nak beli nenas. Nenas murah nya la hai.. RM2.99/biji untuk nenas madu & nenas biasa. Kita amik nenas madu, sedap sikit..😂

Balik rumah terus slow juicer jus nenas petang tu. Sebiji dapat segelas, minum sampai habis.
Malam, masuk tidur awal, lepas maghrib dah tidur. Hujung-hujung ni mengantuk makin menjadi-jadi. Sebab bila dah tidur, setiap sejam terpaksa bangun buang air. Sebelum tidur duk pujuk Ihsan suh keluar awal. Kut dia tunggu hari Jumaat ke, sebab Mami dia pun lahir Jumaat.. 😂



Bersambung...


Berjaya juga makan prosperity mcdonalds 👇


Notakakitangan: lupa nak ke pejabat pos. Ingatkan nak pos surat mc & claim medical. Terpaksa pos sebab nak tutup akaun untuk site lama. Sebab tarikh tu sebelum tarikh Mami kena transfer site baru.

Wednesday, December 11, 2019

Pregnant #05: EDD & checkup di KK

Assalamualaikum..

EDD : 10/12/2019, selasa.
Semalam, sebab dah sampai due tapi belum ada sebarang tanda, makanya kita kena ke klinik la..

Mami Ihsan ni checkup antenatal kat klinik swasta, tapi bila dah balik kampung ni, terpaksa la sambung ke klinik kerajaan. Sebab dah overdue kan..

Bagi yang akan menghadap pengalaman yang sama, mula-mula call Klinik Desa (KD) mukim korang, set appointment. Kalau yang balik awal pun, boleh je set untuk final checkup. Lepas tu bawak buku pink, datang je masa appointment.

Mami Ihsan ke KD Sg. Gau. Gerak dari rumah pukul 8.30. 5 minit je dari rumah. Masa kat sana, dia cek macam biasa, berat, tekanan darah, heart rate baby lepas tu tengok progress kandungan kita. First time kena ukur perut, sebab kat klinik biasa tak ada ambil ukuran perut. Nurse kat situ K.Yati, friendly sangat. Dia terus refer doktor kat Klinik Kesihatan Ibu & Anak (KKIA) Temerloh untuk kes ni. Doktor suruh ke KKIA untuk scan, sebab KD tak ada mesin scan & doktor. K. Yati siap cerita satu-satu apa kena buat lepas tu. KD memang tak ramai orang, jadi ada banyak masa nak beramah mesra. Dia siap cerita macamana dia boleh jadi nurse lagi sambil-sambil dia cek. Masa kitorg datang tu pun, kitorg orang last dari 3 pesakit. 😅
K. Yati siap bagi no telefon dia & klinik untuk dihubungi. 24jam oncall. 😊

Lepas siap semua, terus ke KKIA Temerloh, dekat tepi Sungai Pahang tu. Sampai KKIA pukul 10pagi macam tu. Abah Ihsan turunkan dekat depan pagar sebab nak cari parking. Maka berjalan la mak buyung ke dalam. Macam K.Yati cerita, mula-mula jumpa klinik gigi, jalan terus jumpa 2 bangunan, kanan KKIA. Tapi kena daftar kat bangunan sebelah kiri. Mula-mula nampak bahagian kemalangan & kecemasan, pelik dah, kenapa nak kena daftar dalam tu.  Sebab kat sebelah situ tak ada signage PENDAFTARAN atau mungkin mak buyung ni yang tak nampak, maka melilau la dulu. Tanya dekat pelawat yg kat tengah tunggu kat luar tu, rupanya kena ke depan sikit, ada 1 lorong ke bahagian pendaftaran pesakit luar. Ada 2 kaunter, pesakit kencing manis, darah tinggi etc & ibu mengandung. Letak je buku pink dalam bakul kat kaunter, nanti nurse akan panggil nama. Lepas dapat nombor, baru boleh ke KKIA pulak. Sekejap je sebab dalam bakul tu ada 1 je buku. 

Masuk KKIA, terus letak buku dalam bakul kat kaunter KKIA pulak. Lepas tu tunggu giliran. Kalau kena ambil darah & buat test lain, kena tunggu nurse panggil masuk bilik 1 or 2, ni nurse panggil guna mic, kena alert sebab speaker bergema. Kalau jumpa doktor, terus ke bilik 3, ni nurse panggil tanpa speaker. Kat sini ramai orang, tapi alhamdulillah kerusi banyak & tak de la sampai kena berdiri. Kipas pun banyak & berfungsi. Siap ada kipas industri. Tunggu tak lama sangat sebab terus jumpa doktor je.

Dalam 30min lebih tunggu, terus nurse panggil masuk. Suami boleh ikut masuk untuk scan. Scan kali ni beza sikit.. berat baby 2.9-3kg. Tak tahu la berat baby masa keluar nanti berapa. baby masih belum engage sepenuhnya, masih separuh kepala. Doktor tanya pasal keputihan, terus kena ambil sample takut ada GBS. Apa tu GBS? Bukan Geng Bas Sekolah tau. Google la dulu ye. Nanti kita cerita kat entri lain. Overall, baby ok, jadi doktor bagi tarikh serah diri 39w+6days iaitu lagi 6 hari start hari esok, jadinya 16/12/2019 pagi kena serah diri ke hospital. 
Lepas jumpa doktor, susulan GBS tadi, kena hantar sample keputihan tadi ke makmal, tapi result tak dapat terus, nanti KKIA bagi kat KD. Lepas tu kena hantar sample air kencing hari khamis atau jumaat pagi sebab dah lewat jadi tak boleh dah hantar sample air kencing. pembantu makmal akan bagi botol dan borang sekali, untuk kita ambil sample kat rumah siap-siap. Hantar sample je, tak perlu datang checkup dah, mintak suami je hantarkan. Result keputihan & air kencing tu nanti KKIA hantar ke hospital terus untuk tindakan doktor masa bersalin nanti. Lepas tu doktor suruh ambil ubat kat farmasi. Suami boleh pergi ambil nombor dulu kat farmasi, sementara isteri tunggu giliran jumpa nurse kat luar.

Masa ni nurse bagitahu, apa kita kena buat lepas tu. Macam kes mami Ihsan, ni K.Yati pun dah bagitahu benda yang sama. 
Kena datang KD setiap 2 hari, iaitu 12/12/2019(khamis) & 14/12/2019(sabtu). 
Kena terus serah diri ke HOSHAS 16/12/2019 pagi, kalau masih belum ada tanda-tanda bersalin. 
Kalau ada sebarang tanda bersalin (turun darah, keluar air @ sakit), terus ke hospital, jangan ke KD dah. 

👇 Ni lah ubat untuk GBS tu. Kena masukkan dalam vagina sedalam yang mungkin. Buat sebelum tidur. Lepas dah masukkan, kena tunggu sekurangnya setengah jam, kalau terpaksa bangun. Ni untuk kes nak terkencing, biasalah bila mengandung, tandas tu dah jadi sahabat baik. Sebab tu setelkan semua sebelum masukkan ubat.

👇Ni plan doktor untuk overdue & GBS  case mami ihsan. 

Monday, December 9, 2019

Pregnant #04 : stress & tips buka laluan

Lama tak up post.. 
Selalu jenguk tapi idea menulis takde..
Draft berderet.. 🤭

Hari ni nak cakap pasal stress masa mengandung...
Stress datang dari macam-macam punca..
Salah satunya dari si suami..
Memang masa mengandung ni mood si isteri memang Haywire... 
Jadi, memang salah sikit, nak marah, nak terasa hati, nak merajuk..
Tak boleh dielakkan..
Lagi kesian kalau si suami jenis kuat merajuk jugak...😭

Kena ingat bila si isteri stress macam-macam boleh jadi pada kandungan.. 
Tekanan darah naik
Fetal distress
Keguguran
Bahi meninggal dalam kandungan

Jadi, sebaiknya cari solusi pada masalah ni..
Kalau si suami jenis tak kisah, lebih baik jauhkan diri dari suami... Tak jumpa lagi baik dari duk bercekau je.. takpe, nanti lepas bersalin & berpantang, boleh sambung balik..

Kalau si suami jenis pemarah pun sama, duk jauh2 dulu sementara ni..

Sebenarnya masa kehamilan memangg perlukan suami di sisi, tapi pengurusan emosi pun mainkan peranan untuk kesihatan ibu & bayi.. yang paling penting bayi dalam kandungan la...🥰🥰

Panjang lak bebel... Hehe..


Esok, 10/12/2019 due, mommy & abah ihsan dah start stress sebab baby belum nak keluar lagi.. tanda pun takda.. 

Terus terang, nyesal pulak amik cuti awal..
Mommy ihsan amik cuti awal, start 5/12/2019.. sebab abah ihsan 'terpaksa' amik plan leave 4/12/2019, ingat ihsan keluar awal...
So, sekarang mereput la kat kampung ni.. kitorang balik kampung sebab plan nak bersalin kat temerloh. Last minute tukar plan sebab ihsan tak keluar- keluar lagi.. risau kut kena induce ke czer ke, dekat sikit dari hospital nak balik ke rumah.. plan asal kan nak beraalin kat KL, lepas keluar hospital terus balik berpantang kat Temerloh. Tapi tu lah, kita hanya merancang...

Sejak balik 5/12/2019 haritu, mommy ihsan memg pulun habis-habisan praktis tips untuk natural induce.. tapi abah ihsan pulak takde apa nak dibuat.. jadi mati kutu dia kat kampung ni.. dia pulak stress sebab tak tau nak buat apa.. bila dia stress, mommy la jadi mangsa, sampai mommy pun ikut stress.. so, sekarang rasa macam lebih baik la mommy ihsan tak patah cuti, kerja je macam biasa sampai hari setah diri... 😅 


By the way, ni qpa yang mommy ihsan buat sepanjang cuti ni..
1. Makan nenas & minum jus nenas (tak tahan gatal lidah & luka mulut bila makan buah je), ni start minggu ke-37
2. Birth ball practice - boleh refer latihan dia kat YouTube.. sambil tengok tv atau main hp, sambil buat.. ni memang sungguh-sungguh buat start cuti haritu..
3. Minum raspberry tea leaves - ni start minggu ke 36. Mula-mula 1x sehari, makin dekat due, tambah sikit2 jadi 3-4x.
4. Berjalan @ brisk walk. Hari-hari amik masa untuk jalan-jalan. Kalau ada mesin Treadmill tu, sila fully utilize penggunaan dia.. tapi kalau jenis nak release tension, boleh la pi jalan kat mall ke taman ke, tak pun jalan keliling rumah je.. ni masa kerja hariyu, memang dah buat.. pusing-pusing mall hari-hari.. dapat 20min sehari pun jadi la... Mall kan sejuk, cepat nak kencing walaupun berpeluh(ni orang pregnant je faham), toilet mall pulak takde pili, jadi sekejap je daat pusing, pastu kita balik opis cari toilet..
5. Squat @ ketuk ketampi @ jalan itik. Ni kena rajin buat jugak. Sehari buat la 10kali x beberapa repetition. Ni jarang buat.. dapat 10x pun ok dah rasanya.. kekadang daatla 30x..
6. Rajin-rajin buang air kecik supaya laluan baby tak terhalang.. kadang-kadang memang rasa surge nak buang air tu... Kadang-kadang tak rasa.. jadi selalu-selalu lah buat lawatan ke toilet.. 
7. Makan buah, sayur & air putih untuk mudahkan proses buang air besar. Kalau ada masalah sembelit pun boleh halang laluan baby.. biar usus tu sentiasa kosong.. nak beranak nanti pun kena kosongkan usus.. sekali jalan lah...
8. Rajin @ lamakan sujud supaya baby turun & masuk laluan cepat. Bolehlah nak tambah dengan solat hajat, dhuha & ganti..
9. Zikir-zikir. Ni nanti kita buat bab lain.. sebab banyak jugak zikir untuk diamalkan.
10. Cara @ postur duduk. Jangan menyandar supaya baby menghadap ke belakang. Bukan ke hadapan. Boleh google anterior position. Ni posisi yang tak menekan tulang belakang, & yang sepatutnya untuk baby keluar.  

Tu je kot yang mommy ihsan mampu buat.. ada je tips lain..👇
1. Sentiasa bersama untuk produce hormon oxytoxin. Prostaglandin dari sperma plak akan bantu dilate serviks. 
2. Minta suami urut payudara untuk naikkan hormon oxytocin. 
3. Urutan perineum. Tapi ni lebih kepada nak lembutkan bukaan vagina untuk elakkkan koyakan @ gunting perineum nanti.

So, nanti kita sambung topik lain pulak. 
Yang penting buat semua ibu adalah hormon oxytoxin.. jadi pastikan sentiasa dalam keadaan gembira & elakkan stress ye!!!

Monday, September 23, 2019

Pregnant #02 : Rancangan Pemeriksaan Ante-natal

Masa TTC a.k.a merancang hamil, kita cuma fokus untuk kesihatan sendiri dan pasangan dan ikhtiar supaya berjaya hamil.

Bila dah mengandung, banyak yang perlu difikirkan rupanya.
Bila dah sah hamil, mula lah fikirkan masa depan.
Mula fikir untuk checkup antenatal dimana.
Mula fikir perbelanjaan klinik dan hospital.
Mula fikir barang-barang baby.
Mula fikir pengasuh atau taska.
Mula fikir masa depan baby.
Mula fikir bekerja atau surirumah sepenuh masa.
Mula fikir untuk merancang perbelanjaan dan kewangan.
Banyak tu.... 😄

Mula-mula kami fikirkan untuk checkup dimana.
Kami ada survey Poliklinik Aisyah dan Klinik Kesihatan Kerajaan (KK) sekitar.

Kalau swasta, kos memang tinggi.
Sekurangnya RM100 setiap kali checkup.

Bila cadang ke KK, kami reject sebab: -
- Lokasi, masa dan ada sesetengah KK tak benarkan suami ikut masuk jumpa doktor atas sebab ruang klinik dikongsi bersama ibu lain.
- Ikut lokasi tempat tinggal, kami perlu ke KK Sungai Tua. Tapi jauh jugak dari rumah.
- Sepupu kami, K. Ain, dia ke KK Koperasi Polis, Batu Caves. Kalau nak ke sana jugak, boleh je pakai alamat rumah makcik. KK tu depan rumah dia je. Tapi fikirkan mungkin kena ambil cuti setengah hari setiap kali kena checkup, susah jugak. Sebab time off  layak cuma 2 jam. Lepas dah siap semua, mesti sampai pejabat pun dah dekat tengahari. Berdasarkan pengalaman teman sepejabat yang tengah tunggu hari nak bersalin jugak. Dia selalu pergi petang, sebab orang dah tak ramai.
- Maka, kami cuba tanya KK Cheras, tapi KK tak terima bakal ibu dari luar kawasan, mungkin sebab terlalu ramai. Suruh refer KK Cheras Baru.

Akhirnya, kami ke Klinik Fadzilah, swasta je, sebab senang nak arrange masa. Masa Wani dan masa En. F. En F pulak susah nak ambil cuti. En F nak masuk jugak jumpa doktor, nak tau jugak perkembangan bayi kami. Lagipun Dr Syazwani di Klinik Fadzilah tu terima checkup  antenatal waktu malam.

Kali pertama jumpa Dr Syazwani 2 minggu lepas jumpa Dr Aisyah, untuk scan baby. Alhamdulillah semua ok. Confirm due date 10/12/19.

Ni masa scan dengan Dr Syazwani di Klinik Fadzilah.



Kos : Caj doktor + Scan = RM115


Nota kakitangan : kami tak mewah, tapi masing-masing taknak lepaskan peluang pengalaman kali pertama. Jadi En. F sanggup menabung untuk pengalaman manis ni. InsyaAllah ada rezeki Allah bagi.



Saturday, September 21, 2019

Pregnant #01 : Berita gembira

Alhamdulillah..
Alhamdulillah..
Alhamdulillah...

Terima kasih Ya Allah...

Ini cerita 6 bulan lepas...
Akhirnya setelah 5 tahun menunggu, kami dikurniakan berita gembira..
Seorang hamba Allah bakal lahir...
Gembiranya rasa hati tak dapat digambarkan dengan kata-kata..

Teringat lagi...

Masa tu pukul 8 malam, esoknya 2/4/19 ada appointment dengan Dr Sukumar di hospital Tawakal untuk follow up sakit gastrik/GERD/asid refluks. Cadangnya nak jumpa pakar O&G sekali sebab masalah senggugut tak berhenti. Selalu rasa cramp senggugut walaupun bukan waktu datang bulan atau waktu subur. Datangnya tak tentu masa. 

Ikutkan 2/4/19 tu sepatutnya hari pertama untuk cycle period seterusnya (period cycle Wani tak ada masalah, on time setiap bulan) Sebab cadang nak jumpa doktor O&G esoknya, maka kenalah buat urine test siap-siap, sebab mesti salah satu soalan doktor period ok, berapa hari cycle etc.. Kalau x buat, nanti doktor suruh buat, jadi kita buat siap-siap..

Masa buat urine test tu, tengok 1 line, terus mandi macam biasa. Dalam hati, dah redha sebab dah selalu sangat negatif. Lepas mandi, tergerak hati nak tengok balik, nampak 1 lagi line samar sikit. Eh, tengok balik betul-betul. Biar betul ni.  Hati dah berdebar tak menentu. Masa tu dah rasa nak menangis gembira sangat. Terus siap-siap, solat maghrib. Terima kasih & syukur sangat pada Allah..

Lepas siap solat, tunggu En F balik. Rumah kitorang rumah flat, tapi menghadap tempat parking motor. Jadi bila suami park motor memang nampak terus dia. Nampak je En F balik, terus call dia, mintak dia pergi farmasi belikan pregnancy test yang mahal sikit. Yang guna tadi tu memang standby, beli banyak-banyak online yang harga 80sen tu. En F pun teruja bila dengar suruh pergi beli test kit. Cepat-cepat dia pergi.

En F sampai rumah tunjuk kat dia test kit yang dah buat tadi. Tapi pesan kat dia nak buat lagi sekali esoknya sebab masa terbaik untuk test kan sepatutnya awal pagi. Lepas tu jugak pesan kat dia, jangan kecoh-kecoh lagi, sebab belum confirm lagi...

Esok paginya, pukul 5 dah bangun, terus buat test, guna 2 test kit sekali. Alhamdulillah positif. Gerak En. F suruh tengok sendiri keputusannya. Syukurnya ya Allah...

ni la ketiga-tiga test kit tu. =)


Lepas sarapan tu, terus ke Hospital Tawakal untuk appointment. Masa appointment, Wani tanya Dr. Sukumar kalau-kalau ini false alarm sebab Wani amik ubat untuk asid refluks tu. Dr bagitahu, tak ada kena mengena, kalau positif tu positif lah. Dia prescribe ubat yang low dose supaya tak bagi kesan pada kandungan.

Lepas siap urusan di Hospital Tawakal, kami terus ke Poliklinik Aisyah di Taman Samudera, Gombak. Klinik ni kami pernah pergi dulu masa cek keguguran dulu (masa mengandung kali pertama, tahun 2015). Doktornya lemah lembut je. Jumpa doktor, terus bagitahu nak sahkan mengandung. Doktor terus suruh scan je. Tapi dia dah bagitahu siap-siap, sebab baru sebulan, mungkin tak nampak lagi. Masa nak jumpa Doktor Aisyah ni memang dah tahan kencing sebab nak scan. Untuk makluman yang tak tahu, nak scan kandungan di awal kehamilan, kena bagi pundi kencing penuh. Kalau tak, tak nampak kantung.

Inilah dia. 


Doktor Aisyah bagitahu, kantung memang ada. tapi belum boleh nampak lagi janin sebab kecik sangat. Dia suruh cek semula lepas sebulan....






Notakakitangan : En. F tak putus-putus kaitkan dengan hikmah dia berubah ke jalan Allah. Rupanya Allah nak kami bersedia dari segi rohani & mental sebelum Dia bagi kami anugerah bermakna ni.

I'm coming back!!

Assalamualaikum semua...

Ada ke orang baca blog ni? haha...

Bersawang dah...

Bertahun-tahun tak buka...

Tetiba tergerak hati nak berblog balik..

Harapnya semangat tu tak datang dan pergi...

Harap idea dan mood sentiasa on..

Stay tuned...